Tuesday, January 11, 2011

Minggu Ke-2

Minggu ke dua bermula dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Walaupun, penulis belum lagi menyediakan Rancangan Pengajaran Individu murid atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, penulis menggunakan hasil ujian yang telah diadakan pada minggu pertama untuk menguji dan membimbing murid.

Penulis merasa sedikit gusar dan 'terganggu' dengan pencapaian murid-murid tahun 3. Rata-rata murid yang diuji untuk ujian lisan Bahasa Malaysia tidak mampu membatang dan membunyikan suku kata terutamanya apabila melibatkan suku kata KVK dan seterusnya. Ada juga yang masih tersekat-sekat membunyikan suku kata dan perkataan KV. Nampaknya, penulis perlu melipat gandakan usaha tahun ini.

Murid-murid juga lupa dengan operasi asas; tambah dan matematik walaupun pada tahun lepas, penulis sering kali dan sentiasa memberikan latihan dengan mereka. Mereka ini nyata sekali tidak mengulangkaji pada waktu cuti sekolah. Justeru, minggu ini penulis lebih memberikan penekanan kepada 'flash back' pelajaran lepas dan juga latihan di samping membimbing mereka membuat latihan dengan cara yang betul.

Moga penulis tidak hilang fokus dan dipermudahkan urusan mendidik anak-anak murid.. Amin

Monday, January 3, 2011

Ujian Lisan (Matematik) bagi murid LINUS Tegar (tahun 2)

Minggu pertama persekolahan ini, penulis menjalankan ujian lisan dan bertulis bahasa malaysia dan matematik bagi murid LINUS Tegar (Tahun 2) dan murid pemulihan tahun 3. Hari ini, penulis hanya sempat menguji dan membimbing 3 orang murid LINUS Tegar (tahun 2) iaitu Erika Ara, Noel Angkik dan Petricia Madu. Esok, penulis akan menyambung semula ujian lisan matematik. Keputusan ujian lisan hari ini memberangsangkan dan murid-murid memberikan kerjasama yang memuaskan. Penulis berasa puas hati kerana berjaya membimbing murid mengenal simbol dan operasi +, - dan =. Diharap mereka akan mengingatinya.






Hari pertama sesi persekolahan 2011

'perhimpunan awal tahun sesi persekolahan 2011'

Salam. Ini merupakan entri pertama blog kelas pemulihan SK Suri. Hari pertama persekolahan telah berlalu dengan jayanya. Pertama sekali, penulis merasakan sudah tiba masanya menulis tentang kelas pemulihan khas secara khas dan Sk Suri, Debak secara umumnya. Penulis datang awal pada hari ini, kira-kira dalam pukul 0650 pagi sudahpun berada di sekolah. Perasaan gementar dan berkobar untuk memulakan tugas sebagai pendidik mendorong penulis datang awal dari biasa. Pada tahun ini juga, rata-rata rakan sejawat bersetuju menggunakan folio untuk rekod pengajaran. Hatta, penulis sudah menyediakan fail serta bahan-bahan yang diperlukan untuk disimpan di dalam folio tersebut. Tahun ini juga penulis berazam untuk menyediakan takwim bulanan kelas pemulihan dan juga melunaskan 'hutang-hutang' pemfailan dan pendokumentasian kelas pemulihan khas. Tidak lupa juga Rancangan Pengajaran Individu murid yang amat penting dalam mengenalpasti tahap kelemahan murid, merancang kaedah pnp murid dan juga menjejak prestasi murid dengan lebih berkesan. Insyallah, penulis pasti boleh melakukannya! Yakin boleh! (^_^)